Thursday, November 18, 2010

3 Bulan Sudah...

Pejam celik, pejam celik, sudah 3 bulan saya 'berehat panjang' daripada menulis manuskrip dan berkurung dalam 'sangkar' saya setiap hujung minggu. Sejak bulan Ogos lalu, setelah menghantar manuskrip terakhir, saya seolah-olah 'bebas' dari 'sangkar' saya. Kini, di kala November semakin menghampiri ke penghujung, baru saya tersedar. Betapa rugi dan sia-sianya 3 bulan saya. Jika rakan-rakan penulis lain, dalam masa 3 bulan, pasti sudah terhasil sebuah manuskrip. Tetapi saya, hanya biarkan masa berlalu begitu sahaja. Kenapa sampai macam tu sekali??
Setelah dikaji, tolak, darab, bahagi dan campur, inilah hasilnya:
1) Kononnya, ingin berehat sepanjang bulan Ramadhan, tidak mahu menulis manuskrip baru walaupun idea datang mencurah. (Tanpa sebarang rasa ragu idea itu akan pergi meninggalkan saya)
2) Malas! Gara-gara berehat terlalu panjang, akhirnya timbul rasa malas. Apatah lagi banyak pula drama yang menarik hingga terbantut hasrat hati untuk menulis. (Kalau dah menonton drama bersiri, alamatnya, memang sayanglah kalau terlepas episod seterusnya. Jalan penyelesaian yang terbaik, jangan tengok lagi drama bersiri! hehehee..)
3) Perasaan merudum!!
Alasan yang ke-3 inilah sebenarnya yang sedang melarat dan memberat dalam jiwa saya sejak akhir-akhir ini. Gara-gara banyak sangat membaca tulisan-tulisan yang tak sepatutnya saya baca dan mendengar kata-kata yang tidak sepatutnya saya dengar, akhirnya ia memakan diri sendiri. Natijahnya, perasaan untuk menulis dan menghasilkan manuskrip baru terus merudum teruk.
Namun, sekarang ini saya sedang berusaha keras memujuk hati dan perasaan sendiri untuk terus menulis. Biarlah apa pun mereka hendak kata dan tulis tentang bidang yang saya cintai ini, yang pastinya, saya bahagia dengan apa yang saya lakukan. Dan yang pastinya, saya yakin, karya-karya saya walaupun tidak sehebat mana, tetapi tidak sampai 'membunuh para pembaca'.
Jauh di sudut hati saya berharap, kemunculan Disember dan 1 Muharam 1432 nanti, akan memberi sinar baru dan juga semangat baru dalam kehidupan saya serta karya-karya saya.