Sunday, June 19, 2011

Di Sebalik Tabir 'Hadirnya Dia'

Assalamualaikum & salam sejahtera kepada pengunjung yang sudi mengunjungi blog saya. Saya begitu teruja untuk menulis entri kali ini sebab tarikh hari nie 19 Jun 2011. Ada apa dengan tarikh 19 Jun tu ya?? hehehee.. Kalau pengunjung2 blog saya pernah membaca entri saya pada 19 Jun 2010, tentu anda semua akan tahu. Tetapi mungkin juga telah lupa. Tak apa-tak apa. Lepas nie bolehlah intai kembali entri 19 Jun 2010 ya. :)

Bercerita di sebalik tabir 'Hadirnya Dia' - HD, ingin saya kongsikan perjalanan HD dari awal, pertengahan sehinggalah bertemu noktah terakhir. Saya mula menulis HD sekitar 2008. Jauh di sudut hati saya ingin lahirkannya sebagai karya saya yang kedua setelah kelahiran Ke Pangkuan Cinta. Tetapi saya hentikan seketika kerana menulis mininovella Sama-Sama Kasih. Setelah selesai, saya teruskan kembali penulisan HD itu. Namun, tidak semudah yang disangkakan sebenarnya. Sepanjang menulisnya, ada saja dugaan yang perlu saya lalui. Namun saya tetap kuatkan hati & bulatkan tekad untuk teruskannya. Antara dugaan besar yang perlu saya lalui, saya kehilangan Atuk saya yang tersayang pada 30 April 2009 kerana sakit tua. Sungguh, separuh jiwa saya pergi waktu itu hingga saya nekad berhenti kerja awal Mei 2009. Selepas berhenti kerja, saya hanya duduk rumah dan meneruskan penulisan HD. Saya cuba sibukkan diri dengan menulis HD untuk mengubati kesedihan hati saya kerana kehilangan arwah Atuk. Saya nekad untuk siapkan dan hantar HD kepada penerbit sekitar bulan Jun. tetapi rezeki saya lebih awal nampaknya. Pada 19 Jun 2009, saya telah mendapat pekerjaan baru. Pekerjaan yang langsung tidak terlintas di fikiran saya selama ini. Dari seorang kerani, saya bekerja pula di kedai cermin mata. Nak tergelak pun ada juga saya rasa sebab saya zero tentang bidang ni. Namun saya berfikir secara positif. Saya akan dapat ilmu baru, belajar periksa mata untuk mengetahui tahap kerabunan seseorang. Mungkin ilmu yang saya perolehi itu dapat saya gunakan untuk melahirkan karya di masa akan datang. :) Akhirnya HD terhenti begitu sahaja. Waktu itu saya telah menulis hampir 300 muka surat. Memang semakin hampir dengan penghujung cerita kerana saya rancang untuk selesaikannya sekitar 350 muka surat sahaja. Tetapi akibat kepenatan bekerja (10pg-10mlm & hanya bercuti pada hari Selasa) saya langsung tidak menyentuh laptop saya untuk meneruskan penulisan. Tambahan pula pihak penerbit memberi tawaran untuk menulis Dwilogi Cinta - novel gabungan bersama penulis lain. Akhirnya, saya menyambut tawaran baik itu dan mula menulis cerita baru. Akhirnya, penghujung Novemver 2009, saya berjaya menyudahkan cerita tersebut & tidak lama selepas itu, terlahirlah Dwilogi Cinta - Hati Sudah Sayang hasil kolaborasi bersama sahabat saya ~ Hanny Esandra.

HD terus sepi setelah saya mendapat pekerjaan baru pada 1 Januari 2010. Bekerja di dalam unit editorial - YWJ Citra Holdings Sdn. Bhd. telah menaikkan semula semangat saya untuk melihat kelahiran HD. Akhirnya pada pertengahan Jun 2010, HD bertemu noktah terakhirnya & pada 19 Jun 2010 saya telah menghantarnya kepada penerbit. Perasaan saya begitu teruja untuk melihat kelahiran HD. Pada 23 Mei 2011, buat pertama kali saya menatap wajah HD yang disiarkan di laman blog penerbit. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Syukur Alhamdulillah. Gara-gara terlalu teruja, saya telah copy gambar cover HD saya & saya jadikannya sebagai gambar profil Facebook saya. hehehee..

Pada 17 Jun 2011, petang Jumaat yang hening, akhirnya saya dapat mendakap HD. Jutaan terima kasih kepada penerbit yang telah mengirimkannya kepada saya. Terima kasih yang tidak terhingga juga saya ucapkan kepada para Editor, grafik & seluruh warga kerja penerbit - FAJAR PAKEER kerana telah melahirkan HD yang begitu bermakna pada saya.

Kalau nak diikutkan rasa teruja saya, tentu saja saya telah menulis entri di sebalik tabir HD ini pada 17 Jun. Tetapi saya sabarkan hati saya untuk menanti hari ini 19 Jun 2011 untuk menulisnya kerana hari ini, genap setahun usia HD. :)

Dan kini, perasaan saya begitu berdebar-debar menanti komen para pembaca HD. Jujur saya katakan di sini, saya terima seikhlasnya apa jua komen dari para pembaca sekalian. Saya akui, sedap atau tidak sesebuah karya itu, ianya terlalu subjektif. Setiap pembaca ada selera masing-masing. Dan sebagai penulis, saya terima seadaanya setiap komen-komen tersebut.

Akhir kata, selamat membaca HADIRNYA DIA dengan sepenuh jiwa & terima kasih banyak-banyak.

Salam penuh kasih sayang daripada saya. :)

Saturday, June 4, 2011

Buah Tangan Terbaru ~ Hadirnya Dia



Najihah Syifa membesar tanpa kasih sayang serta belaian seorang ibu. Dia menjadi mangsa perceraian ibu dan ayah. Sedari kecil, dia dilayan sebagaimana layaknya seorang hamba oleh Busu Nonie. Dia akhirnya berjaya melepaskan diri daripada cengkaman Busu Nonie yang kejam lalu melarikan diri ke KL tanpa ada tempat hendak dituju.

“Nasib baik muntah biasa. Kalau muntah darah, mahunya tak ada harapan budak ni nak hidup lagi.”

Kalaulah tidak kerana dilanggar oleh Yuzi, Syifa sendiri belum tahu untung nasibnya di KL. Ibu Yuzi, Puan Tamimah, bersungguh-sungguh mahu Syifa tinggal bersama mereka, lantaran kasihankan gadis naif yang baik budi pekerti itu. Lagipun, kehadiran Syifa ke dalam keluarga mereka pasti dapat memberi peluang kepada Alya untuk merasa belaian seorang ibu.

“Syifa… saya masih setia mencintai awak. Sudi tak awak jadi isteri saya?”

Lamaran daripada Cikgu Zaquan, lelaki pertama yang mengajarnya tentang erti cinta, benar-benar membuatkan lidah Syifa kelu. Apatah lagi, lamaran itu di hadapan Yuzi, yang terlebih dahulu melamarnya.

Tegakah Syifa melukakan hati Yuzi yang begitu lama menanti jawapan daripadanya? Namun tergamakkah Syifa memusnahkan impian Cikgu Zaquan yang terlebih dahulu mencuri hatinya? Antara Yuzi dan Cikgu Zaquan, siapakah yang lebih layak mendapat tempat teristimewa di hati Syifa, lebih dulu hadirnya?