Thursday, August 18, 2011

Adakah Jodoh Kita Tepat?


[Petikan daripada artikel DR. HM TUAH ISKANDAR AL-HAJ dalam ruangan Motivasi Majalah MINGGUAN WANITA, 5 – 11 OGOS 2011]

Apakah petua untuk cepat jodoh? Pada saya cepat jodoh bukanlah isunya berbanding apakah jodoh kita tepat. Berapa ramai orang mengalami petaka dalam hidup oleh jodoh yang tidak serasi. Berkahwin itu senang tetapi membina kebahagiaan hasil daripada perkahwinan itu bukanlah begitu senang.

Sepatutnya kita tidak perlu terlalu risau oleh jodoh yang lambat tetapi risaulah kalau-kalau jodoh kita itu nanti hanya memberikan kesusahan pada kita. Terlalu banyak rumah tangga yang terpaksa mengharungi onak dan duri kehidupan meskipun pada awalnya semuanya kelihatan okey.

Apabila satu hari saya dihubungi oleh adik daripada ibu angkat di Batu Pahat, saya berasa simpati, sebab ibu angkat saya itu sangat baik dan seluruh anak-anaknya baik-baik belaka terhadap saya. Apabila saya mendengar dia juga terpaksa mengalami cabaran perasaan oleh suami yang sampai hati, zalim dan tidak bertanggungjawab saya seperti terpanggil untuk membantu hingga ke akar umbi.

Sebenarnya adalah lebih baik lambat kahwin daripada terpaksa hidup dengan orang yang pincang perasaan. Di Rochester, Amerika Syarikat, seorang lelaki – Gilbert Herrick, berkahwin buat kali pertama semasa dia berumur 99 tahun. Mengapa begitu lama?

Herrick yang pernah menjadi askar semasa Perang Dunia Kedua melangsungkan perkahwinan dengan seorang balu berusia 86 tahun, Virginia Hartman.

“Saya tidak pernah menemui seorang wanita yang sesuai sehinggalah saya menemui Virginia,” kata Herrick.

Ketika ditanya sebelum majlis perkahwinan itu berlangsung jika dia mempunyai nasihat mengenai hubungan romantik, Herrick berkata, “CINTA AKAN MENCARI ANDA.” – (Agensi 25 Jun 11)

Andainya jodoh terus tidak kesampaian sehingga penghujung usia, itu bukanlah lambang kekurangan, yang jelas beban yang tidak perlu digalas. Tanggungjawab dan kewajipan perkahwinan bukanlah mudah, andainya gagal dipenuhi ia mendatangkan dosa. Pada yang tidak berkahwin hingga ke sudah, mereka bebas dari sebarang persoalan berkaitan hak-hak pasangan di akhirat kelak. Memang betul perkahwinan adalah laluan mudah untuk ke syurga, tetapi andainya gagal menjalankan tanggungjawab yang membawa dosa adalah lebih baik hidup tanpa perkahwinan pun.

Lembaga penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, mengatakan 30% wanita di antara umur 25 dan 29 tahun belum berkahwin berbanding 25% untuk lelaki di antara umur 30 dan 34 tahun yang masih bujang. – (BERNAMA 24 Mei 11)

Melihat angka sebegitu banyak, nyatalah anda bukan keseorangan dalam situasi yang serupa. Ada ramai rupanya yang masih bersendiri dan bukan sahaja mereka itu wanita malah lelaki tidak kurang juga.


Jadi, adalah tidak betul menganggap anda telah kehilangan sebahagian daripada sebab untuk berbahagia andainya belum bertemu jodoh. Andainya jodoh itu datang dengan mudah, sambutlah ia dengan mudah. Andainya ia sukar lagi payah, anggap sahaja kecepatan bukanlah terbaik buat anda. Andainya ia tidak datang-datang juga dan andainya hingga ke sudah, itulah rahmat TUHAN untuk memudahkan laluan anda ke syurga. Mereka yang tiada tanggungan bakal lebih mudah kira-kiranya untuk menikmati ganjaran terbaik di akhirat. Dan di syurga sudah sedia menanti segalanya termasuk soal pasangan hidup.

Firman ALLAH SWT bermaksud, “Sesungguhnya TUHAN-mu yang meluaskan rezeki terhadap sesiapa juga yang dikehendaki-NYA (menurut undang-undang dan peraturan-NYA) dan DIA juga yang menyempitkan (menurut yang demikian). Sesungguhnya DIA Maha Mendalam Pengetahuan-NYA lagi Maha Melihat akan hamba-NYA.” (Surah Al-Israk, ayat 30)


Sabar, solat dan sedia adalah tiga ungkapan penting dalam menghadapi apa jua.

********


Assalamualaikum & Salam Ramadan.

Anda semua sudah selesai membaca artikel yang sangat menarik di atas? Mungkin ada di antara anda yang tertanya-tanya, apa motif saya masukkan artikel tersebut ke dalam entri saya kali ini. Mungkin juga anda tertanya-tanya, adakah saya sedang mempersoalkan tentang ketepatan jodoh bersama pasangan saya, atau mungkin juga anda meneka saya sedang mencari jodoh? Atau mungkin ada persoalan-persoalan lain yang sedang bermain-main di minda anda mengenai artikel tersebut?

Sebenarnya begini. Saya ingin berkongsi cerita mengenai JODOH dengan anda semua untuk entri saya kali ini kerana saya menganggap ianya antara soalan yang sangat popular di kalangan masyarakat.

Saya percaya, anda sedar mengenai sikap sesetengah anggota masyarakat yang seolah-olah tidak dapat lari daripada mempersoalkan tentang jodoh seseorang. Soalan-soalan seperti ‘Bila nak kahwin?’, ‘Bila nak makan nasi minyak?’ dan ‘Kenapa tak kahwin?’ antara soalan WAJIB diajukan kepada seseorang, sama ada anak dara atau anak teruna. Malahan yang berstatus ibu tunggal dan bapa tunggal juga tidak terlepas daripada menerima soalan WAJIB tersebut. Ada yang lebih keterlaluan lagi apabila ada yang menyarankan ‘Cepat-cepatlah cari jodoh, jangan tunggu lama-lama. Nanti kalau dah tua baru nak kahwin, susah nak dapat anak’, ‘Kalau susah-susah sangat, pergilah mandi bunga. Nanti mesti senang dapat jodoh lepas tu,’ dan ‘Janganlah memilih sangat. Nanti sampai ke tua tak laku. Kalau ada yang nak, terima ajelah.’


Subhanallah. ‘Penyakit’ masyarakat kita hari ini semakin serius. Bagi saya, soalan-soalan WAJIB yang mereka ajukan dan saranan-saranan yang mereka sarankan adalah sejenis ‘penyakit’.


Siapa mereka untuk mempersoalkan jodoh seseorang? Siapa mereka untuk menyarankan itu dan ini? Sama ada mereka mengajukan soalan-soalan WAJIB tersebut sekadar untuk bergurau atau mungkin sekadar berbasa-basi untuk memulakan perbualan, bagi saya, mereka ini KETERLALUAN! Saranan-saranan mereka itu apatah lagi. Memang SANGAT KETERLALUAN!

Saya melabelkan mereka ini KETERLALUAN kerana mempertikaikan urusan ALLAH S.W.T. Tidak tahukah mereka bahawa soal jodoh pertemuan, ajal maut, rezeki dan segala-galanya terletak di tangan Yang Maha Esa? Jadi, mengapa perlu dipersoalkan? Terlalu cetek sangatkah ilmu agama mereka? Atau mereka ini langsung tiada deria sensitiviti? Sensitif terhadap segala ketentuan-NYA. Sensitif terhadap hati dan perasaan orang yang diajukan soalan WAJIB itu? (Orang yang diajukan soalan WAJIB itu pun tidak pernah mempersoalkan kenapa mereka belum bertemu jodoh, jadi kenapa masyarakat suka sangat menjaga tepi kain orang?)


Saya juga melabelkan mereka ini SANGAT KETERLALUAN atas saranan-saranan yang disarankan itu sebab mereka ini seperti lebih tahu dan lebih berkuasa daripada ALLAH S.W.T Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Mereka ini seperti berpegang kepada teori ‘cepat kahwin, cepat dapat anak’, ‘mandi bunga cepat dapat jodoh’ dan ‘terima saja sesiapa yang ajak kahwin’. Sebenarnya, segala teori tersebut adalah salah sama sekali.

Ianya salah sebab berkahwinlah secepat manapun – ketika usia 17 tahun sekalipun, selagi ALLAH S.W.T belum izinkan mereka mendapat zuriat, mereka tetap tidak akan dapat memilikinya.


Teori mandi bunga untuk cepat dapat jodoh juga adalah teori yang salah. Himpunkanlah seluruh bunga di atas muka bumi ini dan mandilah 10 kali dalam sehari pun tiap-tiap hari, selagi ALLAH S.W.T belum izinkan mereka bertemu jodoh, maka mereka tetap tidak akan bertemu jodoh.


Teori menerima sesiapa saja yang ajak kahwin juga adalah salah. Sama ada lelaki mahupun wanita, mereka berhak memilih pasangan mereka kerana perkahwinan bukanlah suatu perkara yang boleh ‘ditangkap muat’. Perkahwinan juga bukanlah suatu ikut-ikutan. Melihat kawan-kawan sekeliling seorang demi seorang memasuki alam perkahwinan, maka seseorang itu juga sibuk hendak berkahwin. Perkahwinan juga bukanlah semata-mata untuk tentukan tema atau konsep apa majlis persandingan itu nanti!

Rumusan saya, di zaman yang serba mencabar dan serba canggih ini, ‘penyakit’ sesetengah anggota masyarakat semakin sukar ‘diubati’. Mengeluarkan kata-kata sama ada berbentuk soalan mahupun saranan tanpa berfikir terlebih dahulu tanpa mereka sedari telah menerbitkan dosa kerana mempertikaikan ketentuan ALLAH S.W.T. Berfikirlah terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata yang umpama panah berbisa itu.


Namun, saya tidak nafikan ada juga anggota masyarakat yang tidak mempersoalkan tentang jodoh seseorang, sekadar bertanya ‘Sudah kahwin ke belum?’ Jika jawapan daripada si dara atau si teruna adalah belum, maka dengan penuh berhemah mereka menasihati bersabarlah dan banyakkan berdoa. Bila tiba masanya, jodoh akan sampai. Ya. Nasihat inilah yang sebaik-baiknya. Lembut berhemah, menyejukkan hati dan penuh keimanan.

Rumusan terakhir saya, siapa pun kita – berjawatan besar atau kecil, sudah berkahwin ataupun belum, yakinilah dengan sepenuh hati bahawa, ALLAH S.W.T lebih tahu apa yang terbaik untuk setiap hamba-NYA dan tidak perlu dipersoalkan segala ketentuan-NYA.

Sekian, wassalam.

....

Friday, August 12, 2011

Sanisah Huri - Bersabarlah Sayang



Pantasnya waktu berlalu...pejam celik-pejam celik, hari ni genap 12 hari kita berada di bulan Ramadhan yang mulia...suasana hari raya juga mula terasa...dan semestinya, lagu raya mula mendapat perhatian... Lagu raya 'Bersabarlah Sayang' ni antara lagu kegemaran saya... Selamat mendengar & menghayati.. :)

Aishah : Setitis Cahaya Di Aidilfitri (HQ Audio)



Lagu raya 'Setitis Cahaya Di Aidilfitri' nie antara lagu kegemaran saya... Sayu sangat hati setiap kali dengar lagu ni... Kenangan pahit Ramadhan & Syawal 2008 masih terasa... Memang sedih sangat2 bila diingatkan kembali... Tapi saya bersyukur, di sebalik apa yang berlaku, terselit hikmah yang sangat indah. Alhamdulillah. Semoga Ramadhan & Syawal 2011 lebih manis & lebih indah, insya-Allah. :)

Thursday, August 4, 2011

Harapan Ramadhan - Raihan feat. Man Bai



Assalammualaikum dan Salam Ramadhan.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan izin serta limpah kurnia rahmat-NYA, dapat lagi saya bertemu bulan Ramadhan yang mulia tahun ini.

Seperti lagu yang saya titipkan di sini, begitulah harapan saya, 'mengharapkan Ramadhan kali ini lebih bermakna dan dapat dilalui dengan sempurna', insya-Allah. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini, saya dikurniakan kesihatan yang agak baik.

Sebenarnya, 2 minggu sebelum menjelang bulan Ramadhan, saya diuji lagi oleh Yang Maha Esa dari segi kesihatan. Doktor syak saya menghidap 'Batu Karang' berdasarkan simptom-simpton yang saya alami. Memang agak getir juga waktu tu. Dalam keadaan sakit yang amat dan bahagian paha kiri hampir kejang, saya kuatkan semangat memandu meredah kepekatan malam yang hampir jam 12 malam. Hanya saya dan emak berada di rumah, jadi, mahu tidak mahu, saya perlu juga memandu kerana tidak tahan menanggung kesakitan. Hanya deraian air mata sahaja dapat menggambarkan kesakitan yang tidak mampu saya unggapkan.

Memandangkan klinik tersebut tiada x-ray, doktor sarankan supaya saya ke hospital keesokan harinya agar melakukan pemeriksaan lanjut dan x-ray. Walaupun kesakitan saya telah berkurangan setelah memakan ubat yang doktor beri, tetapi saya tetap ke hospital juga untuk melakukan x-ray dan jauh di sudut hati saya berdoa semoga saya tidak menghidap penyakit batu karang. Namun, imaginasi saya terus berkembang. Saya mula membayangkan saya masuk ke bilik pembedahan untuk membuang batu karang. Subhanallah. Sungguh saya tidak sanggup.

Tiba di parkir hospital ada sebuah kereta berwarna maroon mencari pasal dengan saya. Ingatkan orang muda, tetapi rupa-rupanya orang tua. Pak cik yang tidak berambut itu mula keluar dari kereta dan memarahi saya.. Dia cakap, belajarlah susah sikit, jangan nak senang aje. asal nampak parking kosong, terus parking. Terkedu saya sekejap.. Habis tu, parking kosong tu, nak bagi siapa? bagi dia ke? Saya malas nak cerita lebih-lebih... Dahlah tengah sakit, kebulur pula tu (saya berpuasa dua hari -hanya makan bubur kosong n air kosong saja dua hari sebelum ke hospital untuk x-ray. dan pagi sebelum ke hospital, saya memang tak boleh makan apa2 sebab itu adalah prosedur)

Setelah urusan x-ray selesai, alhamdulillah saya disahkan TIDAK berpenyakit batu karang. Mudah-mudahan kejadian sama tidak akan berulang sebab sakitnya tidak terkata, hanya orang yang pernah mengalaminya saja yang akan tahu bagaimana rasa sakirnya tu. Insya-Allah, mudah-mudahan sepanjang Ramadhan yang mulia ni, saya sihat walafiat & dapat menunaikan kewajipan saya dengan sempurna. Amin ya Rabbal alamin.

Selamat menjalani ibadah puasa dengan penuh kesabaran kepada semua. :)