Friday, February 3, 2012

DIA Lebih Tahu



Assalamualaikum.

SUDAH terlalu lama saya biarkan blog saya ni sepi tanpa apa-apa entri, sama ada artikel mahupun gambar. Sedar tak sedar, Februari 2012 sudah menjelma. Agak-agaknya ada ke di antara pengunjung blog saya yang tertanya-tanya ke mana saya menghilang? Agak-agaknya ada tak yang terindu-rindukan saya? hehehe...siapalah saya untuk dirindui, kan? saya bukan siapa-siapa... :)

Sebagai manusia biasa, kita tidak pernah sunyi menghadapi ujian dari YANG MAHA ESA. Ujian itu ada dalam pelbagai bentuk. Senang, susah, rezeki melimpah ruah, kekurangan duit, ditipu, dikhianati, dilukai atau dipuji tinggi melangit - semua itu adalah ujian. Biar apapun bentuk ujiannya, tujuan kita diuji tidak lain & tidak bukan supaya kita sentiasa mengingati DIA. DIA mahu kita sedar, bahawa kita adalah hamba & DIA berkuasa ke atas kita.

Biar apapun ujian yang melanda, kita tetap perlu bersyukur kerana bila kita diuji, itu maknanya kita dalam perhatian DIA. Namun sebagai manusia yang serba kekurangan, perasaan memberontak & berdukacita tetap menghimpit kita apabila kita diuji. Ditambah pula dengan bisikan-bisikan syaitan yang dilaknat yang tidak pernah jemu menghasut supaya kita lupakan DIA & melakukan kemungkaran untuk melampiaskan rasa amarah akibat ujian-ujian tersebut. Namun kita perlu ingat, ALLAH menguji para hamba-NYA mengikut tahap kemampuan para hamba-NYA menanggung segala ujian tersebut. Setiap hamba-NYA ada bahagian masing-masing.

Peringatan & nasihat untuk diri saya sendiri dan juga kepada anda yang terbaca entri saya kali ini supaya kita sentiasa berdoa pada ALLAH agar tetapkan iman kita & kuatkan hati kita menghadapi apa jua ujian yang melanda. Adakalanya kita rasa terlalu lemah untuk menghadapi semua ini hingga terbit rasa putus asa (hasil daripada hasutan syaitan), namun apabila kita sentiasa mengingati DIA & tidak henti-henti memohon hingga menangis teresak-esak, di situlah lahirnya kekuatan. Dan itulah kurniaan yang sangat indah dari ALLAH. Kita akan bangkit & menjadi lebih kuat menghadapi apa jua ujian selepas itu.

Biarlah berkali-kali hati ini disakiti & dilukai kerana sesungguhnya tiada dendam di hati ini kerana sesungguhnya kemaafan adalah dendam yang terindah. ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk para hamba-NYA. Hanya DIA yang layak menentukan siapa yang salah & siapa yang betul. Hanya DIA yang layak untuk menghukum sesiapa yang dikendaki setimpal dengan apa yang dikerjakan.

"Ya ALLAH, teguhkanlah iman kami. Berikanlah kesempatan kepada kami untuk bertaubat sebelum kami dijemput pulang ke pangkuan-MU. Segala apa yang ada pada kami adalah pinjaman dari-MU. Tiba masanya pasti KAU akan mengambilnya semula. Semoga kami tidak alpa dengan apa yang dipinjamkan ini, Ya ALLAH."

No comments: