Saturday, May 8, 2010

Dari Mata Hatiku - Rahsia DIA.

Salam.

Terkilan rasa hati ini sebab sepanjang bulan April, tak ada sebarang cerita yang saya coretkan. Bukan tiada idea ataupun cerita, tetapi jemari saya ini terlalu malas untuk menaip (barangkali)... Jadi, segala cerita itu terus tersimpan kemas jauh di lubuk hati saya...Ada ketikanya, segala cerita yang terakam itu kembali berputar di ruang ingatan....
Saya percaya, setiap insan di muka bumi ini telah dikurniakan dengan kelebihan & kekurangan masing-masing. Begitu juga dengan saya. Mengingati sesuatu peristiwa yang telah lama berlalu, mungkin itulah kelebihan saya...Sebab tanpa mencatat di dalam diari, saya mampu mengingati sesuatu yang telah berlaku biarpun telah terlalu lama. Bukan sengaja diingat atau dikenang sebab pepatah ada mengatakan, 'barang yang lepas usah dikenang....' Tetapi, apa daya saya untuk membunuh segala memori lama yang terus menghuni ingatan & memesrai saya....
Saya terima itu sebagai kelebihan saya. Saya benar-benar bersyukur di atas kurniaan yang amat berharga ini...Alhamdulillah.

Tirai April 2010, tersingkap dengan berita sedih atas pemergian Allahyarham Din Beramboi, seorang pelawak tanah air yang cukup terkenal pada 2 April. Saya akui, saya jarang mengikuti segmen Riuh Pagi Era di Radio Era Isnin-Jumaat, di mana segmen itu dikendalikan oleh Aznil Hj Nawawi & Allahyarham Din Beramboi... Tetapi, semenjak pemergiannya, saya mula mengikuti segmen tersebut kerana saya ingin menebus kembali rasa terkilan saya. Inilah yang dikatakan, 'bila masih ada, buat tak endah...bila dah tak ada, baru nak menyesal....'
Saya pasti tergelak, jika tidak pun, tersenyum lebar setiap kali mendengar 'sawan cara' & 'drama sebabak' dalam segmen Riuh Pagi Era itu yang diulang demi mengingati Allahyarham. Lawak Allahyarham Din Beramboi memang terlalu bersahaja & mampu mencuit hati... Terdetik di hati saya, 'kenapa selama ini (semasa hayat Allahyarham Din Beramboi masih ada) saya tak ikuti rancangan ini? Nasib baik sekarang ni ada siaran ulangan. Kalau tak, saya 'tak kenali lawak-lawaknya dengan lebih dekat'. Patutlah industri seni & para peminat Allahyarham begitu terasa akan kehilangannya.

Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Din Beramboi & dia ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman. Amin.

Belum reda kesedihan tersebut, sekali lagi berita sedih bertandang. Pagi 18 April, saya benar-benar terkejut apabila menatap akhbar, mengenai berita pemergian Allahyarham Achik Spin yang kembali ke rahmatullah pada 17 April kerana terlibat dalam nahas jalan raya....Pelbagai rasa bercampur baur ketika itu ~ terkejut, tak percaya, sedih...Allahyarham masih terlalu muda. (umurnya beza dua tahun sahaja dengan saya). 'Kenapa dia pergi terlalu cepat?' Persoalan itulah yang melingkari saya. Tetapi, akhirnya saya dapat terima qada' & qadar Ilahi. Ajal maut, jodoh pertemuan ~ semuanya di tangan DIA. Segalanya menjadi rahsia DIA. Sebagai hamba-NYA, kita perlu terima segala ketentuan dari DIA. Semoga roh Achik dicucuri rahmat & ditempatkan bersama-sama golongan orang-orang yang beriman. Amin.

30 April - genap setahun arwah datuk (bapa emak) saya kembali ke rahmatullah. Sungguh cepat masa berlalu. Rasanya, bagai baru semalam saya menjaga Tok Tan (panggilan arwah datuk saya) di hospital pada Januari 2009...dan bagai baru semalam rasanya saya menyuapkan bubur ke mulutnya buat kali terakhir pada petang 29 April 2009. Tetapi rupa-rupanya, dah setahun arwah Tok Tan meninggalkan saya & seluruh ahli keluarga.

Memang sedih saat menghadapi perpisahan dengan arwah Tok Tan...tetapi saya tetap redha... Saya juga bersyukur sebab diizinkan Allah swt untuk berada di sisi arwah Tok Tan saat dia menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 30 April 2009, jam 1.10 pagi.
Semoga roh Tok Tan dicucuri rahmat & ditempatkan bersama-sama golongan orang-orang beriman.Amin.


"setiap insan pasti merasa
saat perpisahan terakhir..
biar terpisah di perbatasan bumi
kasih di hati kekal abadi...
doa-doa sentiasa dikirimkan
sebagai bukti kasih sejati..
semoga bertemu di sana nanti
di alam kekal nan abadi..."

No comments: