Saturday, January 1, 2011

Berpantang...

Seronoknya dapat coretkan sesuatu di malam tahun baru ini. Mungkin di saat insan-insan lain sedang bersesak-sesak di dataran menyaksikan bunga api sempena kedatangan tahun baru 2011, saya tersenyum-senyum di hadapan laptop saya kerana berasa begitu aman dan tenang tanpa sebarang gangguan bunyi. ;-)


Seperti lazimnya setiap kali tahun baru menjelma, pasti saya akan menanam azam baru dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya apabila berada di tahun baru tersebut. Dan ketika tahun 2011 bakal menjelang (ketika berada di awal Disember 2010) saya telah mempersiapkan azam baru saya. Antaranya, menjadi lebih baik berbanding tahun sebelumnya, insya-ALLAH. Namun, pada 29 Disember 2010, saya perlu menambah lagi azam baru, iaitu BERPANTANG dengan beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan demi kesihatan saya.
Sebenarnya, pada hari tersebut, saya telah pergi ke Darussyifa' mengikut keluarga saya untuk tujuan perubatan anak saudara. Tetapi akhirnya saya turut mendapatkan rawatan daripada ustaz kerana saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan kesihatan saya. Pada mulanya ustaz hanya bertanya, apa penyakit saya. Saya menjawab, 'saya tak pasti. tetapi berkemungkinan saya menghidapi resdung sebab saya sering selsema kering & agak lambat untuk "detect" bau, di samping jerawat yang sering subur di wajah saya'. Akhirnya ustaz itu mengesahkan sememangnya saya menghidapi resdung berdasarkan ''tone'' suara saya. Jawapan ustaz itu memang menerbitkan kerisauan di hati saya. Tetapi ustaz meyakinkan, insya-ALLAH, penyakit saya boleh sembuh sebab masih baru lagi. Alhamdulillah. Lega sedikit kerisauan saya.


Maka untuk mempastikan penyakit resdung yang saya hidap ini meninggalkan saya, saya akan mula BERPANTANG berkuatkuasa hari ini, 1.1.2011!! Sepanjang tempoh BERPANTANG, saya TIDAK boleh makan makanan laut, telur dan belacan. (Aduhai.... sambal belacan memang tak pernah berpisah dengan saya selama ni. Macam manalah keadaan saya tanpa sambal belacan??) Demi kesihatan, insya-ALLAH, saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk BERPANTANG. Mudah-mudahan usaha merawat ini akan berhasil. Amin.

No comments: