Salam.
Tajuk entri kali ini bukan sahaja kerana mengucapkan salam perpisahan kepada tahun 2010 yang bakal melabuhkan tirainya beberapa minit sahaja lagi (waktu sekarang adalah 11:37 malam, 31 Disember 2010). tetapi salam perpisahan ini adalah untuk arwah datuk saudara saya, MOHD SHARIFF bin KEMAT yang telah kembali ke rahmatullah pada jam 4.15 petang tadi. (Al-Fatihah)
Memang saya sebak menghadapi perpisahan ini. begitu juga dengan seluruh kaum keluarga kami. tetapi, jauh di lubuk hati, saya serta ahli keluarga yang lain rasa bertuah kerana diizinkan ALLAH s.w.t untuk menghadap allahyarham di saat-saat terakhirnya. (dapat menginsafkan kami yang masih hidup ini agar sentiasa mengingati mati) Walaupun kami pilu dengan perpisahan ini, namun kami tetap redha dengan pemergian allahyarham kembali kepada pencipta-NYA. segala urusan untuk menyempurnakan jenazah berjalan dengan lancar. dan saat azan maghrib berkumandang dari masjid, allahyarham telah selamat dikebumikan. (kerana itu adalah permintaan allahyarham supaya segerakan pengkebumiannya jika dia meninggal) semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan hamba-hamba-NYA yang beriman. amin.
dan suatu pengalaman yang takkan dapat dilupakan pada kami sekeluarga serta para penduduk kampung kerana ada 2 kematian pada hari ini (31-12-2010). jiran allahyarham datuk saudara saya terlebih dahulu dijemput ILAHI lebih kurang jam 2 petang. dan setelah jenazah selamat dikebumikan, penduduk kampung dikejutkan pula dengan kematian allahyarham datuk saudara saya. perkara seumpama ini memang tidak pernah berlaku selama ini. sebab itu penduduk kampung rasa tidak percaya pada mulanya. segala-galanya ketentuan DIA. kedua-dua allahyarham bukan sahaja berjiran semasa di dunia, sebaliknya ALLAH s.w.t telah menentukan kedua-duanya turut berjiran pusara. semoga mereka dimasukkan dalam golongan hamba-hamba-NYA yang beriman dan beramal soleh. amin.
salam perpisahan buat tahun 2010 yang telah melakarkan pahit manis sepanjang 365 hari yang telah dilalui. doa dan harapan saya, semoga 2011 ini akan lebih indah hendaknya. amin.
selamat tahun baru kepada semua.
'tahun baru ibarat tahun lepas sebab tahun hadapan ia akan jadi tahun lepas' ;)
No comments:
Post a Comment