12 Februari 2005
YUHANIS termenung panjang di jendela kamar sepinya. Hembusan bayu malam yang menampar lembut ke pipi gebunya tidak dihiraukan. Anak-anak rambut yang jatuh menutupi sepasang mata bundarnya dikuis sedikit ke belakang. Beberapa helai pakaian yang diletakkan di atas katilnya sebentar tadi dibiarkan begitu saja tanpa di masukkan ke dalam beg pakaian yang sudah sedia menanti. Yuhanis terus melayan perasaannya.
“Jauh menung. Teringatkan Aizul ke?” Sapaan dari Myrza teman serumahnya yang berbadan agak gempal itu sedikit mengejutkan dirinya. Sekilas Yuhanis menoleh ke arah temannya itu dengan senyuman yang terukir di bibir mungilnya. Kemudian dia beralih pula ke katilnya dan memasukkan pakaiannya ke dalam beg. Myrza memandang Yuhanis dengan seribu pertanyaan yang berlegar difikirannya.
“Kau nak ke mana Nis? Outstation ke? Tak beritahu aku pun?” Soal Myrza bertubi-tubi. Setelah selesai mengemas beg pakaiannya, Yuhanis menghampiri Myrza yang masih lagi tercegat di tepi jendela. Tangan temannya itu diraih dan digenggam erat.
“Patutlah semua orang gelarkan kau mak nenek, Za. Kau menyoal aku mengalahkan aku ni buat salah pula,” ujar Yuhanis sambil tersenyum.
“Bukannya macam tu. Tapi aku risau tengok kau tu, hah. Malam-malam buta begini dengan beg besar. Termenung pula tu. Manalah tahu kau nak lari dari rumah ke?” Lancar saja Myrza mencurahkan kesangsian yang bertakhta dihati nuraninya. Yuhanis tertawa besar mendengarkan omelan temannya itu.
“Esok aku nak balik kampunglah, Za,” ujar Yuhanis setelah tawanya reda. Myrza hanya mengangguk-angguk mendengar penjelasan temannya itu.
“Kalau macam tu, aku nak tidur dengan kau lah malam ni. Aku takut rindu pula bila kau tak ada nanti,” ujar Myrza berlagak manja sambil melentukkan kepalanya ke bahu Yuhanis.
“Kau ni, macam-macam hal lah, Za,” ujar Yuhanis sambil tersenyum manis. Sedikit sebanyak, telatah Myrza itu dapat mengubat luka dihatinya.
13 Februari 2005
KEADAAN rumah Mak Cik Piah yang sunyi sepi dan berkatup rapat mengundang keresahan di hati kecil Yuhanis. ‘Mana pula ummi pergi ni?’ Detik hati kecil Yuhanis. ‘Itulah balik tak mahu beritahu ummi. Kononnya saja nak buat kejutan. Bila dah jadi macam ni, sendiri juga yang susah.’ Bebel Yuhanis sendirian.
“Apalah yang dibebelkan tu, Anis?” Mak Cik Piah yang tiba-tiba muncul itu mengejutkan Yuhanis. Mengucap panjang dia sambil mengurut-urut dadanya yang berombak kencang. Mak Cik Piah tertawa besar melihat telatah anak tunggalnya itu. Dalam senyum yang masih bersisa, hati kecil Mak Cik Piah tertanya-tanya sendiri. Apakah gerangan yang mendorong anaknya itu untuk pulang menjenguknya.
ASAM pedas ikan sembilang Mak Cik Piah benar-benar membuka selera Yuhanis. Sedar tak sedar tiga kali dia bertambah. Kembang berbunga hati Mak Cik Piah bila melihatkan anaknya begitu berselera sekali. Setelah selesai berkemas, dua beranak itu duduk berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen. Rancangan televisyen malam itu begitu menghiburkan hingga mengundang tawa dua beranak itu. Yuhanis mengambil peluang di atas kelekaan Mak Cik Piah yang sedang menonton itu dengan berbaring di atas paha umminya itu.
“Lepas makan mana elok baring, Anis. Nanti kena cop sebagai anak dara pemalas pula,” ujar Mak Cik Piah.
“Biarlah orang nak kata apa pun, ummi. Yang penting Anis bahagia,” ujar Yuhanis bersahaja. Mak Cik Piah menggelengkan kepala mendengarkan kata-kata anaknya itu.
“Kalaulah si Aizul tu tahu perangai Anis macam ni, terus dibatalnya nak masuk meminang,” ujar Mak Cik Piah masih mahu bergurau. Serta-merta air muka Yuhanis berubah bila mendengar nama Aizul disebut umminya. Mak Cik Piah yang sedar akan perubahan di wajah anaknya itu, terus mengubah topik perbualan mereka. Hati kecil Mak Cik Piah bagaikan dapat merasa ada sesuatu yang telah berlaku dalam perhubungan anaknya dengan Aizul, iaitu pemuda yang sudah 3 tahun dikenalinya.
“Lama ke Anis bercuti?”
“Tak lama, mi. Cuma dua hari je,” Seketika kemudian suasana sepi menyelubungi keadaan. Masing-masing melayan perasaan walaupun pada zahirnya mata mereka masih terlekat di kaca televisyen itu.
14 Februari 2005
BAU aroma kek coklat yang baru dikeluarkan dari ketuhar pembakar menerpa masuk ke hidung Mak Cik Piah yang baru saja selesai solat fardhu zohor. Sebaik saja Mak Cik Piah melangkah ke dapur, didapatinya Yuhanis sedang menghidangkan kek tersebut di atas meja.
“Sedapnya bau kek Anis, ni. Ada tetamu istimewa ke?”
“Tak adalah ummi. Kek ni, istimewa Anis buat untuk ummi yang tersayang,” ujar Yuhanis sambil memeluk dan mencium Mak Cik Piah. Tersentuh hati kecil ibu tua itu diperlakukan sebegitu.
“Setahu ummi, hari ni bukannya hari jadi ummi,” Mak Cik Piah terusan menduga anaknya.
“Ummi, hari ni kan 14 Februari…”
“Ummi tahulah hari ni 14 Februari. Setahu ummi, hari ni untuk pasangan yang sedang bercinta untuk meraikannya. Jadi kenapa Anis membuat kek ini untuk Ummi? Kenapa Anis tak menyambutnya bersama dengan Aizul?” Yuhanis terkedu bila umminya sekali lagi menyebut nama Aizul.
“Ummi, hari ni adalah hari untuk kita berkasih sayang. Ia tidak semestinya untuk orang yang sedang bercinta saja. Kita bebas untuk meraikannya dengan sesiapa saja. Bagi Anis, hanya ummi seorang saja yang Anis sayang. Jadi, tak salah rasanya kalau Anis menyambutnya bersama dengan Ummi. Anis bercuti pada hari ini pun semata-mata kerana ummi,” ujar Yuhanis panjang lebar.
“Bagaimana pula dengan Aizul?” Yuhanis meleraikan pelukannya dan perlahan-lahan melabuhkan punggungnya di sebelah umminya. Kedengaran Yuhanis mengeluh kecil. Seolah-olah melepaskan satu bebanan yang berat.
“Anis dengan Aizul dah tak ada apa-apa, ummi,” ujar Yuhanis perlahan. Mak Cik Piah memandang wajah Yuhanis dengan dahi yang berkerut minta penjelasan. Keadaan sunyi seketika. Yuhanis bermenung panjang sebelum menyambung ceritanya kembali. Mak Cik Piah menanti dengan sabar.
“Maafkan Anis, ummi. Anis tak berdaya menyelamatkan perhubungan kami. Bagi Anis, cinta yang suci tidak perlu mengorbankan maruah diri,” Anis terhenti seketika bagai mencari kekuatan diri untuk meneruskan ceritanya.
“Tiga tahun Anis menjalinkan cinta bersama Aizul, ummi. Memanglah Anis sayangkan dia. Tapi itu tidak bermakna Anis perlu menuruti setiap kemahuannya. Lagipun, Anis tak sanggup nak mengorbankan kasih sayang yang ummi semaikan dalam diri Anis selama 25 tahun hanya semata-mata kerana cintanya yang tiga tahun itu, ummi. Anis lebih rela kehilangan dia dari kehilangan ummi, kasih sayang ummi dan maruah diri Anis, ummi. Kasih sayang ummi tiada tandingannya,” empangan air mata yang ditahan Yuhanis sejak dari tadi pecah juga akhirnya. Kedua beranak itu berdakapan dalam kesyahduan.
“Ummi bangga dengan anak ummi. Ummi bersyukur kerana Anis masih dapat menilai mana yang baik dan mana yang buruk walaupun Anis tinggal di kota besar dan berjauhan dari ummi. Terima kasih Anis kerana tidak mensia-siakan kasih sayang ummi selama ini.” Suara orang memberi salam segera meleraikan pelukan dua beranak itu. Sambil mengesat-ngesat air mata yang masih bersisa, mereka beriringan menuju ke muka pintu. Mak Cik Piah terpaku sebaik melihat wajah tetamu yang tidak diundang petang itu.
“Safiah,” sepatah lelaki separuh umur itu menyapanya. Mak Cik Piah masih kaku. Yuhanis di sebelah cuba mengembalikan umminya ke alam nyata. Mata Mak Cik Piah dan Yuhanis bertembung. Yuhanis yang tidak mengerti apa-apa seakan meminta penjelasan yang pasti dari umminya.
“Untuk apa abang datang?” Dada Yuhanis berdebar kencang tatkala mendengar umminya menyebut abang pada lelaki itu. ‘Mungkin inikah ayah aku? Iskandar Harun?’ Detik hati Yuhanis. Kebencian mula bertandang dalam diri Yuhanis.
“Abang datang nak minta maaf, Safiah. Abang sedar kesilapan abang selama ni. Abang tinggalkan Safiah. Abang tinggalkan anak kita,” Kali ini mata Iskandar beralih pula pada Yuhanis.
“Yuhanis?” Sapanya. Tanpa sepatah kata, Yuhanis terus meninggalkan dua insan yang telah bertanggungjawab membawanya ke dunia ini. Mak Cik Piah serba salah. Iskandar tertunduk pasrah. Perbuatan Yuhanis sedikit sebanyak telah mengecilkan hati Iskandar. Tapi dia segera sedar, Yuhanis jadi begitu disebabkan dirinya juga.
“Baru sekarang abang nak minta maaf? Kenapa baru sekarang abang sedar kesilapan abang? Kenapa baru sekarang abang sedar yang abang ada anak? Kenapa abang tidak sedar 25 tahun yang dulu?” Soalan Safiah yang bertubi-tubi menyesakkan dada Iskandar. Perlahan-lahan dia mengurut dadanya. Di ruang mata Iskandar kini terbayangkan kisah silam 25 tahun yang lalu.
Rayuan Safiah yang meminta jangan meninggalkan dirinya langsung tidak dihiraukan. Tangisan Yuhanis yang baru berusia dua bulan juga tidak diendahkan. Iskandar terus melangkah pergi tanpa menoleh lagi. Setelah 25 tahun berlalu, kini dia muncul semula mengembalikan nostalgia di masa lampau.
“Abang datang ke mari semata-mata ingin memohon maaf di atas apa yang telah berlaku selama ni. Abang tahu, abang berdosa dengan Safiah dan Yuhanis. Jadi sebelum abang menutup mata, abang mahu menebus segala dosa-dosa abang. Tapi kalau Safiah dan Yuhanis tak dapat memaafkan abang, tak mengapalah. Abang redha. Mungkin ini balasan tuhan terhadap abang di atas segala dosa yang abang lakukan.”
Tanpa berlama di situ, Iskandar meminta diri. Namun sebelum dia berlalu pergi, sempat juga dia berpesan agar menghubunginya jika Yuhanis ingin melangsungkan perkawinan dan dia bersedia untuk menjadi wali kepada anak tunggal mereka itu. Yuhanis yang mendengar pesanan ayahnya itu menitiskan air mata di dalam kamarnya. Setelah Iskandar berlalu pergi, Mak Cik Piah menatap kad yang diberikan suaminya sebentar tadi. Tertera nama Dato’ Dr. Haji Iskandar Bin Haji Harun Pengarah Gemilang Holding Sdn. Bhd. di kad tersebut.
15 Februari 2005
“UMMI, Anis minta diri dulu. Anis nak minta maaf dengan ummi kerana bersikap kurang ajar dengan ayah semalam. 14 Februari adalah hari untuk kita berkasih sayang dan menghapuskan sengketa. Tapi semalam, kita tidak memanfaatkannya,” Yuhanis berkata dalam nada yang penuh dengan penyesalan.
“Anis, kita berkasih sayang sepanjang masa. Bukan hanya pada 14 Februari saja. Tak patut rasanya jika sepanjang tahun, hanya sehari saja masa yang diperuntukan untuk menjalinkan kasih dan menyulam sayang. Bagi ummi, kasih sayang sepanjang hayat Anis. Hargailah seseorang itu selagi dia masih ada. Jika dia telah tiada nanti, segala-galanya sudah tidak bererti lagi,” ujar ummi panjang lebar.
Anis Ayuni berdakapan mesra bersama umminya sebelum berangkat pulang ke kota.
Sepanjang pemanduannya, dia sentiasa terngiang-ngiangkan nasihat umminya sebentar tadi. Sesekali muncul wajah sayu milik ayahnya. Air mata Yuhanis mengiringi sepanjang perjalannya.
‘Ah! Mengapa harus wujud lelaki seperti ayah dan Aizul di muka bumi ini? Mengapa aku dan ummi harus menjadi mangsa mereka? Mengapa ayah meninggalkan ummi begitu saja setelah bertahun-tahun menyemai cinta dan melayari hidup bersama? Apakah kehadiran aku mengganggu perhubungan mereka? Apakah cinta ayah terhadap ummi hanya berlandaskan nafsu semata tanpa mengharapkan sebarang zuriat? Tanpa mengharapkan kehadiran aku?
Aizul? Ah lelaki itu. Bicaranya memang manis. Apalah ertinya aku meneruskan perhubungan dengannya andai cinta suci yang sama-sama kami semaikan dulu ingin dibajanya dengan nafsu kini?’
“Anis, ummi tak mahu Anis menjadi pendendam kepada lelaki hanya kerana kekecewaan masa lalu. Sabarlah, Anis. Tuhan tidak akan menjadikan sesuatu itu tanpa sebarang hikmah,” Nasihat Mak Cik Piah masih terlekat ditangkai hati Yuhanis.
‘Ummi, satu hari nanti Anis pasti akan mengucup tangan ayah’ Detik hati kecil Yuhanis sambil menyeka air mata yang tidak pernah surut sedari tadi.
(Mingguan Wanita, Mac 2005)
No comments:
Post a Comment