Monday, February 14, 2011

14 Februari datang lagi...

ALHAMDULILLAH...ALHAMDULILLAH...ALHAMDULILLAH...

Setinggi-tinggi syukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin-NYA, saya masih berkesempatan bertemu dengan 14 Februari, tarikh yang sangat bermakna ~ bermulanya sebuah kehidupan saya sebagai hamba-NYA. Dengan segala apa yang DIA pinjamkan untuk saya, dengan segala nikmat yang tidak ternilai, saya benar-benar bersyukur. Alhamdulillah. Semoga saya terus diberi kesempatan olah-NYA untuk meminjam & menikmati segala nikmat yang tidak terhingga ini, insya-ALLAH.

sentiasa ingat ini: Ingat 5 perkara SEBELUM 5 perkara...
1) sihat SEBELUM sakit
2) lapang SEBELUM sempit
3) kaya SEBELUM miskin
4) muda SEBELUM tua
5) hidup SEBELUM mati

sihat SEBELUM sakit.
- akhir bulan Disember 2010 sehinggalah awal Februari 2011, saya akui, kesihatan saya memang agak teruk. Tidak pernah saya mengalaminya sebelum ini. Tetapi saya reda dengan segala ketentuan-NYA. (Pasti ada hikmahnya) Saya sedar, saya sedang diuji & dinilai sejauh mana kesabaran saya menempuhinya. Dan saya juga sedar, ALLAH s.w.t sentiasa menguji setiap hamba-hamba yang dikasihi-NYA. Alhamdulillah. Dengan segala kesakitan yang dilalui, saya semakin dekat dengan DIA, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Hari ini, 14 Februari 2011, saya masih diberi peluang oleh-NYA untuk menghirup udara di muka bumi-NYA. Alhamdulillah. Semoga terus diberi kesempatan untuk bertemu 14 Februari di tahun-tahun mendatng, insya-ALLAH.

Saturday, January 1, 2011

Berpantang...

Seronoknya dapat coretkan sesuatu di malam tahun baru ini. Mungkin di saat insan-insan lain sedang bersesak-sesak di dataran menyaksikan bunga api sempena kedatangan tahun baru 2011, saya tersenyum-senyum di hadapan laptop saya kerana berasa begitu aman dan tenang tanpa sebarang gangguan bunyi. ;-)


Seperti lazimnya setiap kali tahun baru menjelma, pasti saya akan menanam azam baru dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya apabila berada di tahun baru tersebut. Dan ketika tahun 2011 bakal menjelang (ketika berada di awal Disember 2010) saya telah mempersiapkan azam baru saya. Antaranya, menjadi lebih baik berbanding tahun sebelumnya, insya-ALLAH. Namun, pada 29 Disember 2010, saya perlu menambah lagi azam baru, iaitu BERPANTANG dengan beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan demi kesihatan saya.
Sebenarnya, pada hari tersebut, saya telah pergi ke Darussyifa' mengikut keluarga saya untuk tujuan perubatan anak saudara. Tetapi akhirnya saya turut mendapatkan rawatan daripada ustaz kerana saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan kesihatan saya. Pada mulanya ustaz hanya bertanya, apa penyakit saya. Saya menjawab, 'saya tak pasti. tetapi berkemungkinan saya menghidapi resdung sebab saya sering selsema kering & agak lambat untuk "detect" bau, di samping jerawat yang sering subur di wajah saya'. Akhirnya ustaz itu mengesahkan sememangnya saya menghidapi resdung berdasarkan ''tone'' suara saya. Jawapan ustaz itu memang menerbitkan kerisauan di hati saya. Tetapi ustaz meyakinkan, insya-ALLAH, penyakit saya boleh sembuh sebab masih baru lagi. Alhamdulillah. Lega sedikit kerisauan saya.


Maka untuk mempastikan penyakit resdung yang saya hidap ini meninggalkan saya, saya akan mula BERPANTANG berkuatkuasa hari ini, 1.1.2011!! Sepanjang tempoh BERPANTANG, saya TIDAK boleh makan makanan laut, telur dan belacan. (Aduhai.... sambal belacan memang tak pernah berpisah dengan saya selama ni. Macam manalah keadaan saya tanpa sambal belacan??) Demi kesihatan, insya-ALLAH, saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk BERPANTANG. Mudah-mudahan usaha merawat ini akan berhasil. Amin.

Friday, December 31, 2010

Salam Perpisahan

Salam.
Tajuk entri kali ini bukan sahaja kerana mengucapkan salam perpisahan kepada tahun 2010 yang bakal melabuhkan tirainya beberapa minit sahaja lagi (waktu sekarang adalah 11:37 malam, 31 Disember 2010). tetapi salam perpisahan ini adalah untuk arwah datuk saudara saya, MOHD SHARIFF bin KEMAT yang telah kembali ke rahmatullah pada jam 4.15 petang tadi. (Al-Fatihah)
Memang saya sebak menghadapi perpisahan ini. begitu juga dengan seluruh kaum keluarga kami. tetapi, jauh di lubuk hati, saya serta ahli keluarga yang lain rasa bertuah kerana diizinkan ALLAH s.w.t untuk menghadap allahyarham di saat-saat terakhirnya. (dapat menginsafkan kami yang masih hidup ini agar sentiasa mengingati mati) Walaupun kami pilu dengan perpisahan ini, namun kami tetap redha dengan pemergian allahyarham kembali kepada pencipta-NYA. segala urusan untuk menyempurnakan jenazah berjalan dengan lancar. dan saat azan maghrib berkumandang dari masjid, allahyarham telah selamat dikebumikan. (kerana itu adalah permintaan allahyarham supaya segerakan pengkebumiannya jika dia meninggal) semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan hamba-hamba-NYA yang beriman. amin.
dan suatu pengalaman yang takkan dapat dilupakan pada kami sekeluarga serta para penduduk kampung kerana ada 2 kematian pada hari ini (31-12-2010). jiran allahyarham datuk saudara saya terlebih dahulu dijemput ILAHI lebih kurang jam 2 petang. dan setelah jenazah selamat dikebumikan, penduduk kampung dikejutkan pula dengan kematian allahyarham datuk saudara saya. perkara seumpama ini memang tidak pernah berlaku selama ini. sebab itu penduduk kampung rasa tidak percaya pada mulanya. segala-galanya ketentuan DIA. kedua-dua allahyarham bukan sahaja berjiran semasa di dunia, sebaliknya ALLAH s.w.t telah menentukan kedua-duanya turut berjiran pusara. semoga mereka dimasukkan dalam golongan hamba-hamba-NYA yang beriman dan beramal soleh. amin.
salam perpisahan buat tahun 2010 yang telah melakarkan pahit manis sepanjang 365 hari yang telah dilalui. doa dan harapan saya, semoga 2011 ini akan lebih indah hendaknya. amin.
selamat tahun baru kepada semua.
'tahun baru ibarat tahun lepas sebab tahun hadapan ia akan jadi tahun lepas' ;)

Saturday, December 18, 2010

Follow Your Heart

Entri kali ni guna tajuk omputeh pula...huhuu...macam poyo aje...tapi biarlah...sesekali, apa salahnya, kan?? hehehee... 'Follow Your Heart'?? tentang apa?? Ermm...sebenarnya saya dah letih bila dengar macam-macam cakap sesetengah orang yang saya anggap berbisa... berbisa?? yalah, mana tak berbisanya, sebab, sekali mereka bercakap, terus terjunam semangat saya... so, setelah puas saya memujuk hati saya dan berusaha membina semangat sendiri, akhirnya saya berjaya ... saya dah nekad! saya akan ikut suara hati saya, naluri saya... saya tidak akan 'bersara' semata-mata mendengar cakap orang... Mudah-mudahan sepanjang 2011 nanti, saya akan lebih aktif berkarya... senang cakap macam ni lah, diaorang nak cakap apa pun, cakaplah... ada saya kisah?? haahaahaa... dah letih dah asyik makan hati aje gara-gara dengar cakap orang... kelahiran LINA juga telah banyak membakar semangat saya... dan saya berharap sangat, saya akan 'lahirkan' adik-adik LINA ~ FP Junior dengan lebih 'ramai' lagi... ;)

kepada kawan-kawan yang mungkin merasai apa yang saya rasai, saya harap, kalian juga akan kembali bersemangat dan teruskan menulis. jangan dengar cakap-cakap berbisa itu lagi. sebaliknya, 'follow your heart'. k, chaiyok2...

Thursday, November 18, 2010

3 Bulan Sudah...

Pejam celik, pejam celik, sudah 3 bulan saya 'berehat panjang' daripada menulis manuskrip dan berkurung dalam 'sangkar' saya setiap hujung minggu. Sejak bulan Ogos lalu, setelah menghantar manuskrip terakhir, saya seolah-olah 'bebas' dari 'sangkar' saya. Kini, di kala November semakin menghampiri ke penghujung, baru saya tersedar. Betapa rugi dan sia-sianya 3 bulan saya. Jika rakan-rakan penulis lain, dalam masa 3 bulan, pasti sudah terhasil sebuah manuskrip. Tetapi saya, hanya biarkan masa berlalu begitu sahaja. Kenapa sampai macam tu sekali??
Setelah dikaji, tolak, darab, bahagi dan campur, inilah hasilnya:
1) Kononnya, ingin berehat sepanjang bulan Ramadhan, tidak mahu menulis manuskrip baru walaupun idea datang mencurah. (Tanpa sebarang rasa ragu idea itu akan pergi meninggalkan saya)
2) Malas! Gara-gara berehat terlalu panjang, akhirnya timbul rasa malas. Apatah lagi banyak pula drama yang menarik hingga terbantut hasrat hati untuk menulis. (Kalau dah menonton drama bersiri, alamatnya, memang sayanglah kalau terlepas episod seterusnya. Jalan penyelesaian yang terbaik, jangan tengok lagi drama bersiri! hehehee..)
3) Perasaan merudum!!
Alasan yang ke-3 inilah sebenarnya yang sedang melarat dan memberat dalam jiwa saya sejak akhir-akhir ini. Gara-gara banyak sangat membaca tulisan-tulisan yang tak sepatutnya saya baca dan mendengar kata-kata yang tidak sepatutnya saya dengar, akhirnya ia memakan diri sendiri. Natijahnya, perasaan untuk menulis dan menghasilkan manuskrip baru terus merudum teruk.
Namun, sekarang ini saya sedang berusaha keras memujuk hati dan perasaan sendiri untuk terus menulis. Biarlah apa pun mereka hendak kata dan tulis tentang bidang yang saya cintai ini, yang pastinya, saya bahagia dengan apa yang saya lakukan. Dan yang pastinya, saya yakin, karya-karya saya walaupun tidak sehebat mana, tetapi tidak sampai 'membunuh para pembaca'.
Jauh di sudut hati saya berharap, kemunculan Disember dan 1 Muharam 1432 nanti, akan memberi sinar baru dan juga semangat baru dalam kehidupan saya serta karya-karya saya.

Monday, October 18, 2010

Kerinduan Anak Rantau

Aku anak rantau
yang kehilangan rindu
pada desa halaman
yang segar menghijau.

Aku anak rantau
yang kehilangan mata
melihat lambaian desa
yang menggamit setia.

Aku anak rantau
yang kehilangan hati
tidak berperasaan apa
waima desa meratap hiba.

Aku anak rantau
yang sengaja melakonkan
watak kepura-puraan
pada desa yang jauh ditinggalkan
demi menutup sebuah kerinduan
yang tidak bertepian
demi maruah martabat nusa
yang harus diperjuangkan.
(Berita Minggu, 17 Oktober 2010)

Wednesday, October 6, 2010

Semalam Kubermimpi..

salam.
bila sudah terlalu lama tidak menulis di blog, terasa janggal pula untuk memulakannya. tapi tak mengapalah. saya tetap akan menulis juga.. chaiyok2.. :-)

'semalam kubermimpi'... sejak sekian lama, saya memegang kata-kata ini 'jangan percaya pada mimpi. mimpi cuma mainan tidur aje.' tapi, ada pula yang mengatakan 'mungkin, mimpi itu adalah sebagai alamat, petanda atau petunjuk.'
sungguh! saya benar-benar kurang pasti tentang itu.
malam tadi, saya bermimpi kembali ke zaman persekolahan. sebaik sahaja saya tiba di anak tangga terakhir, datang seorang rakan dalam keadaan gembira. saya tak tahu apa yang digembirakan sangat tu. kemudian, dengan wajah yang tetap ceria, dia menarik-narik baju saya sampailah baju saya terkoyak. saya betul-betul marah atas perbuatannya itu. gara-gara perbuatan dia tu, saya terpaksa menanggung malu ketika perhimpunan berlangsung. saya yakin, ramai yang perasan tentang baju saya yang koyak. dan ketika perhimpunan sedang berlangsung, tiba-tiba jatuh beberapa biji buah durian. lama kelamaan, semakin banyak pula durian yang jatuh dan akhirnya, kami semua terpaksa melarikan diri naik ke kelas di tingkat atas dan bersembunyi.

sewaktu tersedar dari lena, saya menung panjang...
'apa makna mimpi ni ek?' detik hati kecil saya.